Lapan petugas hospital swasta PP kontak dengan pesakit COVID-19

GEORGETOWN: Lapan kakitangan Hospital Lam Wah Ee di sini didapati mempunyai kontak dengan seorang pesakit COVID-19 lelaki berusia 89 tahun di negeri itu, Sabtu lalu.

Susulan itu, kesemua kakitangan terbabit kini dipantau secara rapi manakala kesemua peralatan dan kawasan terbabit disanitasi mengikut panduan Kementerian Kesihatan.

Hospital terbabit menjelaskan tidak ada pesakit lain yang berhubungan secara terus dengan pesakit COVID-19 itu.

"Perkhidmatan klinikal di Hospital Lam Wah Ee tidak terjejas, dan pesakit boleh meneruskan rawatan mereka di hospital berkenaan dalam keadaan selamat," menurut kenyataan dikeluarkan hospital itu, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut pesakit COVID-19 terbabit berada di Bilik Kecemasan dan Kemalangan hospital pada Sabtu lalu kerana menghidap gastroenteritis akut.

"Kakitangan kecemasan mendapati pesakit menghidap Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan terus mengasingkan beliau di bilik khas, yang kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk pemantauan dan pengurusan," kata kenyataan itu. - BERNAMA



Sumber : Lapan petugas hospital swasta PP kontak dengan pesakit COVID-19

Post a Comment

0 Comments