
KULIM: Hanya kerana tidak mendapat wang RM80 yang diminta, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membunuh ibu kandung sendiri.
Lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan, bertindak demikian selepas ibunya yang berusia 53 tahun tidak memberikan wang itu menyebabkan dia mengacu sebilah pisau ke arah mangsa lalu mengugut untuk membunuhnya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata kejadian berlaku di rumah mereka di Taman Seri Mahkota di sini jam 10 malam kelmarin.
Beliau berkata, suspek turut bertindak merosakkan pintu bilik utama, peti sejuk dan mesin basuh di rumah berkenaan.
"Disebabkan takut, mangsa yang bekerja sebagai pembantu am itu kemudian melarikan diri ke rumah jirannya untuk meminta bantuan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kulim.
"Susulan laporan yang dibuat ibu suspek, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya menahan lelaki itu pada jam 10.30 malam tadi di rumah suspek berkenaan," katanya.
Azhar berkata, suspek yang tidak bekerja itu mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah selain satu rekod dikehendaki polis.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis morfin.
"Polis turut merampas satu plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat lebih kurang 0.60 gram.
"Turut dirampas sebilah pisau berukuran panjang kira-kira 23 sentimeter untuk siasatan lanjut," katanya.
Azhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.
Sumber : Lelaki ugut bunuh ibu ditahan polis
0 Comments