Mahkamah Persekutuan tolak permohonan tangguh PRN Sabah

Jahid memohon agar mahkamah menangguhkan PRN Sabah, sementara menunggu keputusan rayuan berhubung isu siapa yang lebih berhak menjadi Ketua Menteri antara Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Perkara itu diputuskan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Rahmad Sebli.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Musa turut hadir di mahkamah.

Jahid memfailkan permohonan itu pada Selasa lalu dengan menamakan Mohd Shafie, Speaker Datuk Seri Syed Abas Syed Ali serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri Datuk Bernard J Dalinting sebagai responden.

Dalam permohonan itu, beliau memohon agar Warta Kerajaan Negeri Sabah bertarikh 30 Julai digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Beliau turut memohon agar pengumuman Yang Dipertua Negeri bertarikh 30 Julai bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-15 mengikut Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sabah digantung sementara menunggu keputusan rayuan berhubung isu itu.

Pada 26 Ogos, Musa dan Jahid memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan berhubung cabaran mereka terhadap kesahihan pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dalam keputusan majoriti 2-1, telah membenarkan permohonan Musa dan Jahid untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Usaha Musa dan Jahid untuk mencabar pelantikan Mohd Shafie sebelum ini menemui jalan buntu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 28 Nov tahun lepas.

Seorang litigan perlu memperoleh kebenaran terlebih dahulu sebelum meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA





Sumber : Mahkamah Persekutuan tolak permohonan tangguh PRN Sabah

Post a Comment

0 Comments