Institut latihan tidak sesuai anjur kursus tangani 'scammer'

KUALA LUMPUR: Institut latihan awam (ILA) tidak sesuai memberikan kursus atau latihan kepada penjawat awam bagaimana hendak menangkis 'tipu daya' daripada sindiket penipuan atau 'scammers'.

Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata ILA adalah tempat untuk melatih penjawat awam dalam skop tugas dan profesionalisme sebagai kakitangan kerajaan.

"Pada saya tidak sesuai untuk modul latihan sedemikian dianjurkan ILA memandangkan kursus dan latihan yang disediakan bermatlamat membina sahsiah serta kemahiran pegawai kerajaan.

"Ketika ini, JPA juga tidak ada kapasiti untuk menghasilkan modul berkenaan memandangkan jumlah pusat latihan sedia ada yang terhad tetapi kita perlu melatih penjawat awam secara berterusan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, mencadangkan JPA meningkatkan program latihan dan kursus modul berkaitan modus operandi sindiket penipuan dan pelaburan palsu.

Ia sebagai langkah bagi mengelakkan lebih ramai penjawat awam dan pesara terpedaya sehingga terpaksa menanggung kerugian mencecah jutaan ringgit.

Mohd Khairul Adib berkata, penipuan scam ini bukan hanya terjadi kepada penjawat awam, tetapi turut membabitkan orang awam.

"Pada saya, tidak perlu sampai kepada tahap membuat satu modul bagi menangani isu penipuan atau scammer.

"Di pihak kami, tidak semua perkara boleh diselesaikan melalui kursus, apatah lagi tidak ada statistik jumlah penjawat awam yang ditipu melalui kaedah sedemikian," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pelbagai jabatan kerajaan turut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya 'scamers' antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

"Setiap hari akan ada scam baharu yang muncul dan pihak berkuasa banyak membangkitkan kesedaran awam selain banyak kes berkaitan penipuan ini tular di media sosial.

"Saya berpendapat CUEPACS perlu menasihati ahlinya supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan kerana tidak ada modul boleh menghalang penipuan menerusi cara itu," katanya.



Sumber : Institut latihan tidak sesuai anjur kursus tangani 'scammer'

Post a Comment

0 Comments