'Tiada pelitup muka disimbah kimia'

KUCHING: Polis menyangkal dakwaan pihaknya ada mengeluarkan kenyataan berhubung amaran pembahagian pelitup muka yang disiram bahan kimia.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata amaran yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu mencetuskan kebimbangan dan dikhuatiri boleh menggugat ketenteraman awam.

Justeru beliau meminta orang ramai mengabaikan amaran itu yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Baru-baru ini tular melalui WhatsApp mengenai pembahagian pelitup muka percuma yang disiram bahan kimia yang boleh membuatkan pemakainya berasa sejuk dan tersungkur seterusnya dirompak.

"Polis Sarawak mengesahkan bahawa mesej yang tersebar itu adalah palsu kerana kami tidak pernah mengeluarkan sebarang makluman atau amaran seperti itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi mesej atau maklumat yang belum pasti kesahihannya.

"Jika mahukan kesahihan, hubungilah mana-mana balai polis berhampiran," katanya.



Sumber : 'Tiada pelitup muka disimbah kimia'

Post a Comment

0 Comments