Misi TFC II gagal

KUALA TERENGGANU: Misi Terengganu FC II (TFC II) untuk mengutip tiga mata di laman sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Bagaimanapun skuad kendalian Roshadi Wahab yang hanya menurunkan tiga tonggak import tidak menunggu lama apabila mendapat jaringan pertama ketika permainan berusia 43 saat menerusi pemain sayap, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran penyerang, Jordan Mintah dari sebelah kanan pintu gol pelawat yang singgah di kaki Zuasyraf sebelum pemain itu menyepak masuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.

Pelawat yang membariskan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi selain bekas penyerang Kedah musim lalu, Fernando Rodriguez berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan cantik Francisco Insa Bohigues atau Kiko Insa pada minit ke-12 yang berpunca daripada sepakan sudut kapten, Nicolas Fernandez.

Selepas jaringan itu, pelawat yang dibimbing Rafael Gil Sanchez dilihat lebih banyak mendominasi permainan dengan dua percubaan tepat menerusi Rodriguez, namun dihampakan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin.

Usaha berterusan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila mendahului tuan rumah sekali lagi menerusi Kiko Insa pada minit ke-27 selepas mendapat umpanan menarik Fernandez hasil sepakan sudut.

Sedar skuadnya kerap ditekan pelawat, pemain skuad The Turtles menukar strategi dengan melakukan percubaan dari luar kotak penalti.

Percaturan itu menjadi apabila Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob yang tidak dikawal melakukan rembatan dari jarak 25 meter pada minit ke-54 sekali gus menerjah gawang ketika penjaga gol pelawat tampak tidak bersedia.

Skuad JDT II tidak mahu mengalah apabila sekali lagi di depan menerusi tandukan Rodriguez pada minit ke-65 hasil situasi 'set piece' yang diambil Fernandez untuk mendahului 3-2 sekali gus mengutip tiga mata berharga selepas merakam kemenangan di laman lawan.



Sumber : Misi TFC II gagal

Post a Comment

0 Comments