KUALA LUMPUR: PAS sedia memecat mana-mana pemimpinnya jika didapati melakukan maksiat, melanggar moral dan nilai Islam.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu amat menitik beratkan sifat moral dalam kalangan pemimpin dan ahlinya.
"Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia.
"Dalam Pas yang pertama adalah dari segi maksiat, diikuti yang kedua kalau ada salah laku itu kita serah kepada undang-undang," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di sini, hari ini.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan kisah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, umpama seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.
Sebelum ini, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.
Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga sudah diambil keterangan oleh polis di Bukit Aman, di sini, berhubung siasatan melanggar arahan kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Sumber : Pecat pemimpin PAS laku maksiat, langgar moral
0 Comments