PN tiada bulan madu, terus bekerja demi rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berbulan madu sebaliknya terus bekerja keras untuk negara sebaik sahaja diberi amanah mentadbir Malaysia sejak Mac lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, apa yang dilakukan itu bagi memastikan kerajaan PN pimpinannya dapat terus berfungsi sebaik sahaja dibentuk sebagai kerajaan yang bekerja siang dan malam untuk membela rakyat.

"Kami tiada masa untuk berbulan madu sebagai kerajaan baharu. Tidak ada tempoh bulan madu untuk kita semua.

"Kami bekerja sebagai pemerintah yang berfungsi dari semasa ke semasa," katanya berucap di majlis penutup Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) anjuran anjuran Pertubuhan Intektual Negara (PINTAR) di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, krisis getir yang menguji kebertanggugjawaban kerajaan PN kepada rakyat ialah penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

"Alhamdulillah, berkat kesungguhan kerajaan dengan dokongan barisan petugas hadapan (frontliners), penjawat awam, sukarelawan dan disiplin rakyat, negara kita telah berjaya mengharungi krisis ini dengan baik.

"Malaysia dikatakan antara negara yang paling berjaya dalam menangani krisis COVID-19," katanya.

Muhyiddin juga menjelaskan antara faktor kejayaan kerajaan menangani COVID-10 adalahketegasan dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kedai tutup, pejabat tutup, sekolah tutup, kilang-kilang tutup, hampir kesemuanya ditutup hingga tiada pergerakan langsung.

"Ini antara langkah awal yang kita ambil untuk membendung penularan wabak COVID-19. Langkah ini penting diambil oleh kerajaan demi untuk menjaga nyawa rakyat," katanya.

Beliau berkata, alhamdulillah, selepas enam bulan, Malaysia telah hampir berjaya membendung wabak COVID-19.

"Kes-kes penularan tempatan adalah rendah. Pada masa-masa tertentu jumlah kes harian yang dilaporkan hanya satu digit sahaja. Kadar kesembuhan juga tinggi iaitu 97 peratus dan kadar kematian kekal rendah pada 1.3 peratus," katanya.



Sumber : PN tiada bulan madu, terus bekerja demi rakyat

Post a Comment

0 Comments