SEPANG: Ekonomi Malaysia berada dalam landasan pemulihan apabila pelaburan langsung asing dan domestik menunjukkan trend peningkatan, sekali gus dijangka mampu mencapai sasaran pelaburan keseluruhan untuk tahun ini.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali, berkata Malaysia sudah mencapai 60 peratus daripada sasaran pelaburan berjumlah RM58 bilion bagi 2020 setakat ini, sekali gus satu petunjuk pemulihan ekonomi selepas pelaburan merosot mendadak dalam tempoh April hingga Jun lalu berikutan langkah penutupan sebahagian aktiviti ekonomi bagi menangani COVID-19.
Malah, katanya agensi kerajaan yang berkaitan juga melaporkan terdapat 94 permohonan pelaburan bagi Ogos yang menawarkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan.
"Malaysia sudah keluar dari kemerosotan disebabkan COVID-19. Jika dilihat pada graf ekonomi negara, kita sudah keluar dari keluk kejatuhan dan meningkat sedikit demi sedikit.
"Walaupun pandemik ini tidak mungkin akan berakhir dalam masa terdekat, tetapi data pelaburan yang diterima EAC menunjukkan sasaran itu tidak mustahil dicapai tahun ini.
"Langkah pemulihan yang diambil oleh kerajaan selain tinjauan berterusan EAC dalam memberi input, menunjukkan satu kejayaan. Namun, EAC akan terus memantau pergerakan ekonomi negara agar pertumbuhannya akan konsisten," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd (Sepang Aircraft) yang dimiliki Airbus di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, lawatannya ke Sepang Aircraft juga sebagai sebahagian daripada pengumpulan maklum balas EAC untuk meninjau kekangan dan kesulitan yang dihadapi oleh industri pembuatan.
Beliau berkata, industri pembuatan adalah antara segmen penting kepada ekonomi negara dan EAC akan terus memantau selain turun padang bagi memahami sendiri masalah yang dihadapi oleh industri itu.
Katanya, industri pembuatan juga antara yang terjejas disebabkan COVID-19 dan kesannya mampu memberi impak besar kepada pendapatan dan pekerjaan.
"Oleh itu, EAC akan terus mendapatkan input dan dibentangkan dalam mesyuarat EAC yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri dan Menteri yang berkaitan. Dari situ, satu penyelesaian dapat dirangka demi kesejahteraan industri dan rakyat secara keseluruhannya.
"Industri pembuatan juga perlu beralih ke arah digitalisasi dan penggunaan teknologi tinggi kerana ia adalah satu keperluan penting ketika ini. Perubahan landskap operasi perniagaan ketika ini menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai perkara yang kekal dan mampu bertahan ketika berhadapan dengan krisis sukar," katanya.
Sumber : Pelaburan meningkat, ekonomi Malaysia dalam landasan pulih
0 Comments