KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Lee Zii Jia mengakui timbul kebimbangan dalam dirinya untuk beraksi pada saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, bulan depan ketika penularan pandemik COVID-19 masih belum reda di seluruh dunia.
Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pemain sebagai keutamaan mereka sepanjang kejohanan berpasukan itu berlangsung.
"Bukan saya seorang saja, tetapi semua pemain juga pastinya risau.
"Namun, seperti yang diberitahu Presiden BAM (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria), mereka memperketatkan SOP (prosedur operasi standard) dan sentiasa berhubung dengan BWF (Persekutuan Badminton Dunia) bagi menjamin keselamatan pemain.
"Jadi, kami sebagai pemain boleh memberi fokus sepenuhnya terhadap aksi dalam gelanggang," kata Zii Jia.
Kelmarin, skuad badminton Taiwan mengesahkan menarik diri daripada saingan Piala Thomas/Uber di Aarhus kerana masih bimbang dengan penularan pandemik COVID-19.
Malah, latihan berpusat skuad badminton India terpaksa dihentikan minggu lalu selepas pemain beregu lelaki, Satwiksairaj Rankireddy disahkan positif COVID-19.
Dalam pada itu, Zii Jia, berkata dia sudah bersedia untuk menggalas tugas sebagai perseorangan pertama pada kejohanan di Aarhus biarpun sudah ia adalah tanggungjawab yang besar.
Dia percaya, pengalaman mengetuai skuad negara dalam beberapa kejohanan berpasukan sebelum ini membantu dirinya melakukan persiapan.
"Dalam acara berpasukan ketika Sukan SEA (2019 di Filipina) dan Kejohanan Berpasukan Asia (di Filipina, Februari lalu), juga bermain sebagai perseorangan pertama.
"Tekanan itu memang ada, tetapi saya semakin membiasakan diri dengan situasi ini," katanya.
Sumber : Zii Jia bimbang beraksi di Piala Thomas
0 Comments