
KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air perlu menunggu lagi untuk melihat 'bisa' gandingan perancang tengah, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dan penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin susulan penundaan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 ke tahun depan.
Penundaan kejohanan yang sepatutnya berlangsung bulan depan di Uzbekistan itu terpaksa dilakukan AFC akibat pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, kejohanan AFC B-16 juga akan ditunda ke awal tahun depan, manakala Kejohanan Futsal AFC yang dijadualkan berlangsung di Kuwait November ini ditunda pada 2 Disember.
"Demi keselamatan semua pihak kita memutuskan untuk mengambil langkah sedemikian. Ini bersandarkan kepada senario terkini bahawa rantaian COVID-19 ini belum putus sepenuhnya," kata Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023.
"Industri bola sepak khususnya Asia akan berdepan beberapa cabaran utama, namun AFC akan terus bersama dengan ahli gabungan terutama negara yang terjejas teruk dengan memberi sokongan padu serta bantuan kewangan yang diperlukan."
Sementara itu, pengurus pasukan B-19 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menjelaskan pihaknya akan tetap merancang sesuatu untuk skuad itu bagi mempersiapkan diri ke kejohanan itu.
Beliau turut mengesahkan Wan Ahmad Kuzri sudah pulang ke Amerika Syarikat untuk bersama kelabnya, St Loius Football Academy selepas mengetahui keputusan penundaan kejohanan itu.
"Kami akur dengan penundaan ini, ia untuk kebaikan semua pihak kerana soal nyawa lebih penting dari segala-galanya. Sementara menunggu tarikh baharu kejohanan, kita sedang merancang sesuatu untuk pasukan.
"Penundaan ini juga mungkin memberi lebih banyak ruang untuk Luqman memantapkan lagi permainannya selepas baru sahaja ke Belgium. Cuma saya harapkan apa yang ditunjukkan di Belgium dapat memberi impak kepada skuad B-19 apabila dia dipanggil nanti," katanya.
Sumber : Peminat kena tunggu lagi aksi Wan Kuzri, Luqman
0 Comments