Anugerah AFC lonjak semangat Safawi

KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid menyifatkan kemenangannya merangkul Anugerah Gol Terbaik Sedekad daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mencetus semangat baru buatnya untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, pengiktirafan itu disifatkan penghargaan terbesar buat dirinya kerana bukan mudah untuk mana-mana pemain dinobatkan pemenang gol terbaik.

Safawi yang memulakan kariernya bersama pasukan kelab dari Terengganu, T-Team mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mengundi gol menerusi lencongan kaki kirinya ketika dia menewaskan penjaga gol Shandong Luneng, Wu Xinghan dari luar kotak penalti dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu.

"Saya bukan seorang pemain yang bagus lagi, cuma saya sentiasa berusaha dan terus melangkah serta bekerja keras kerana ini adalah punca rezeki saya.

"Tapi bagi saya, anugerah ini adalah pencetus semangat baru kerana bukan senang pemain kita nak dapatkan gol terbaik peringkat tertinggi.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang membantu kemenangan saya menerusi ACL dan ini merupakan hadiah untuk peminat di Johor serta Malaysia," kata Safawi selepas perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Perlawanan itu yang memihak kepada JDT yang menang 1-0 hasil jaringan Safawi pada minit kelima.

Terdahulu menerusi keputusan undian yang dikeluarkan AFC, gol itu meraih 34 peratus undi, sekali gus mengetepikan sembilan pencabar lain untuk diangkat sebagai gol terbaik ACL sejak 10 tahun lalu.

Jaringan itu sebelum ini turut dinobat pemenang undian gol Lencongan Terbaik ACL 2019 pada Mei lalu.

Ketika ditanya perkembangan bersama kelab Portimonense SC di Portugal, Safawi berkata, fokusnya kini tertumpu untuk memburu kejuaraan Liga Super ketujuh berturut-turut buat pasukannya.

"Saya belum fokus lagi bersama kelab itu (Portugal Portimonense SC) kerana tumpuan kini adalah untuk memburu kejuaraan ketujuh JDT dalam Liga Super.

"Jika ada makluman daripada pihak pengurusan saya akan kongsikan perkembangannya, Insya-Allah kalau ada rezeki, bermain di Johor atau di mana-mana pun tidak kisah," kata pemain berusia 23 tahun itu yang sebelum ini adalah pemain sepak takraw remaja Terengganu sebelum aktif dalam bola sepak.



Sumber : Anugerah AFC lonjak semangat Safawi

Post a Comment

0 Comments