KUALA LUMPUR: Cubaan seorang penyeludup rokok merasuah dua anggota kereta peronda polis (MPV) bagi mengelak ditahan gagal selepas dia diberkas di Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Perdana dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam.
Hasil pemeriksaan menemui 21,000 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai tidak melalui pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Rokok yang ditemui diletakkan atas tempat duduk bahagian belakang itu dipercayai untuk diedarkan kepada penjual rokok di kedai runcit sekitar ibu negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata selepas penemuan rokok itu suspek tiba-tiba mengeluarkan wang tunai RM1,000 dari poket seluarnya.
"Suspek cuba menyogok anggota polis berkenaan dengan wang RM1,000 itu sambil menyatakan penahanan itu dapat diselesaikan di situ saja namun anggota polis memberi amaran untuk tidak cuba memberi rasuah sebanyak tiga kali.
"Bagaimanapun suspek kemudian bertindak memegang tangan anggota polis untuk memaksanya mengambil wang berkenaan sebelum anggota polis mengelak dan terus membuat tangkapan ke atas suspek kerana kesalahan memberi rasuah," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM1,000 yang cuba disogok oleh suspek.
"Berikutan itu suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pantai, daerah Brickfields, untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sumber : Pengedar rokok seludup cuba 'suap' polis ditahan
0 Comments