Rev Asia ambil alih iMedia

KUALA LUMPUR: Rev Asia Berhad hari ini mengumumkan persetujuan mengambil alih iMedia, syarikat media digital berkembang pesat di Malaysia yang menfokuskan pada pemasaran kandungan, teknologi dan pempengaruh sosial.

iMedia memiliki dan mewakili beberapa syarikat digital terkemuka di negara ini yang mempunyai hubungan dengan lebih lapan juta rakyat Malaysia setiap bulan.

Pelanggan iMedia merangkumi beberapa syarikat teknologi terbesar seperti Shopee, iQiyi, Foodpanda, Huawei dan jenama global lain seperti McDonald's, L'Oreal, Fonterra dan Mercedes.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama iMedia, Voon Tze Khay, berkata syarikat itu dijangka akan memperoleh untung bersih lebih daripada RM3 juta selepas cukai pada tahun depan, sekali gus menyaksikan jumlah perolehan sebanyak RM40 juta.

Katanya, pengasas iMedia memberi perhatian penuh terhadap saham Rev Asia yang menunjukkan komitmen mereka untuk membina kumpulan media digital terkemuka di Malaysia.

"Terdapat beratus perniagaan media digital dan iklan bebas di Malaysia yang akan lebih baik di bawah satu bumbung yang mana mereka dapat berkongsi teknologi, data, kandungan, pasukan penjualan dan pelanggan.

"Kami berhasrat untuk menjadi rumah tunggal media digital Malaysia. Kami ingin melabur dan memperoleh banyak ruang yang tersedia di Malaysia serta di seluruh rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tze Khay berkata, sebagai sebahagian daripada Rev Asia, akses ke pasaran modal diharap dapat membolehkan syarikat mempercepatkan rancangan perolehan dan pertumbuhannya dengan memberi fokus terhadap keuntungan secara berterusan.

Jelasnya, iMedia memiliki platform pemasaran berpengaruh sosial terkemuka di negara ini yang mampu melaksanakan kempen pemasaran menjangkaui golongan generasi muda.

Sementara itu, Pengerusi Rev Asia, Datuk Larry Gan, berkata beliau teruja untuk bekerjasama dengan Tze Khay serta pasukannya.

"Dalam usaha terakhir kami bersama, kami membina kumpulan media digital bebas terbesar di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dan berjaya menjualnya kepada Media Prima Berhad.

"Kali ini, dengan pasaran digital yang lebih besar lagi, saya percaya kami mempunyai peluang untuk membina syarikat bernilai jauh lebih besar dalam jangka masa yang lebih pendek," katanya.

Katanya, pemerolehan itu menyatukan pengetahuan dan kepakaran pasukan usahawan iMedia di bawah panji Rev Asia.



Sumber : Rev Asia ambil alih iMedia

Post a Comment

0 Comments