PARIS: Seramai 14 individu yang dituduh membantu lelaki bersenjata menyerang pejabat akhbar satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo dan sebuah pasar raya Yahudi dihadapkan ke mahkamah hari ini.
Serangan pada 7 Januari 2015, yang mencetuskan beberapa siri serangan di Perancis, termasuk pembunuhan 'lone wolf' (pengganas individu) yang dikatakan terpengaruh dengan Daesh, mengakibatkan lebih 250 nyawa terkorban.
Perbicaraan kes bermula dengan kawalan keselamatan ketat ketika 11 suspek muncul di kamar mahkamah untuk berdepan tuduhan konspirasi melakukan keganasan atau bersekutu dengan kumpulan pengganas.
Tiga lagi termasuk isteri salah seorang penembak, melarikan diri ke wilayah yang dikuasai Daesh di Syria beberapa hari sebelum serangan dan dibicarakan tanpa menghadirkan diri.
Charlie Hebdo, atas alasan memperjuangkan kebebasan bersuara, menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad yang menjadi punca serangan itu, sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Peguamnya, Richard Malka, berkata ia adalah intipati semangat Charlie Hebdo, enggan berputus asa untuk kebebasan, kegembiraan mahu pun penghinaan.
"Jangan takut, sama ada terhadap keganasan atau kebebasan," katanya sebelum memasuki bilik mahkamah.
Kira-kira 150 pakar dan saksi memberi keterangan selama dua bulan setengah akan datang, yang akan mengimbau semula kisah yang paling menyakitkan dalam sejarah moden Perancis.
Ketiga-tiga penyerang itu dibunuh polis, namun sebarang hujah bahawa baki mereka yang dibicarakan itu hanya memainkan peranan kecil ditolak pendakwa raya dan saudara mara mangsa.
Peguam kepada salah seorang mangsa, Patrick Klugman, berkata mereka bukan sekadar orang suruhan, sebaliknya mempunyai sikap anti Semitik yang mendalam.
Seramai 12 orang termasuk beberapa kartunis terkemuka Perancis, terbunuh dalam serangan pada 7 Januari 2015 itu oleh pasangan adik beradik, Said dan Cherif Kouachi.
Selain dua beradik terbabit, 14 individu lain didakwa bersekongkol dalam serangan sama, yang turut menyasarkan sebuah pasar raya Yahudi, dibicarakan hari ini.
Menyusuli serangan itu, Amedy Coulibaly, yang menjadi rapat kepada Cherif Kouachi ketika dalam penjara, membunuh seorang pegawai polis berusia 27 tahun, Clarissa Jean-Philippe, ketika pemeriksaan polis di Montrouge, Paris.
Coulibaly juga membunuh empat lelaki Yahudi yang dijadikan tebusan di pasar raya Hyper Cacher di Paris pada 9 Januari.
Dia turut membuat rakaman video mengatakan tiga serangan yang dirancang itu dilakukan bagi pihak Daesh.
Coulibaly terbunuh apabila polis menyerbu pasar raya berkenaan manakala adik beradik Kouachi terbunuh dalam operasi bagi memberkas mereka ketika bersembunyi di sebuah kedai cetak.
Perbicaraan yang sepatutnya diadakan lebih awal itu terpaksa ditunda akibat ancaman COVID-19. - AFP
Sumber : Perbicaraan serangan Charlie Hebdo bermula
0 Comments