JOHOR BAHRU: Seramai 121 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM1,000, malam tadi.
Dalam serbuan polis kira-kira jam 10 malam, pusat hiburan tanpa lesen itu baharu beroperasi tiga hari.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata serbuan dilakukan secara bersama olah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Katanya, 121 individu yang sedang berhibur berumur antara 20 hingga 40 tahun itu dikompaun serta-merta kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
"Premis pusat hiburan ini tidak mempunyai lesen serta kebenaran untuk beroperasi. Permohonan mendapat lesen baru dikemuka pada 1 September lalu.
"Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis, selain seorang lelaki Myanmar, 32 tahun dan seorang wanita Vietnam, 31 tahun atas kesalahan gagal mengemuka dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ayob Khan, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor dan Perkara 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Sumber : Polis kompaun pengunjung pusat hiburan
0 Comments