Laporan aktiviti haram Sungai Buloh ke KPN

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) sudah menyerahkan perkembangan siasatan salah laku membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh kepada Ketua Polis Negara, minggu lalu.

Laporan berkenaan adalah hasil siasatan 10 hari oleh pasukan khas JIPS Bukit Aman, sebaik video pendedahan oleh Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau dikenali sebagai Asri Janggut, pada 8 Ogos lalu tular di laman sosial.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata perincian awal mendapati pegawai IPD Sungai Buloh yang dikatakan bersekongkol dengan sindiket perjudian hidup dalam tahap kemampuan mereka yang sebenar.

"Kami mendapati harta dimiliki mereka seperti rumah dan kenderaan adalah dalam keadaan munasabah serta lazim dan sesuai dengan pangkat masing-masing.

"Sebagai contoh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar, memiliki sebuah rumah berharga di bawah RM400,000," katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Zamri berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan menyeluruh dan turut memberi cadangan kepada IPD Sungai Buloh untuk tugasan susulan.

"Kami menasihatkan IPD Sungai Buloh melakukan operasi dan serbuan secara komprehensif selepas ini seperti Operasi Bersepadu, penyitaan bangunan atau premis yang menjalankan kegiatan salah termasuk bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik," katanya.

Beliau berkata, siasatan sejak tahun lalu sehingga Julai tahun ini mendapati 447 serbuan dilakukan ke atas premis perjudian dengan 665 tangkapan.

Bulan lalu, Asri mendedahkan dua rakaman video menerusi laman sosial Facebook, berhubung apa yang didakwanya sebagai aktiviti perjudian, penjualan rokok seludup dan perniagaan haram.

Beirkutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan lapan pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).



Sumber : Laporan aktiviti haram Sungai Buloh ke KPN

Post a Comment

0 Comments