Polis nafi penduduk Alor Setar ingkar PKPD lari ke Kangar

KANGAR: Polis menafikan terdapat penduduk Alor Setar, Kedah yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di daerah berkenaan melarikan diri ke negeri ini dengan menginap di sebuah hotel di Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata video yang tular di aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi mendakwa bahawa penduduk Alor Setar bertindak menginap di hotel berkenaan sejak PKPD dikuatkuasakan itu adalah palsu.

Sebaliknya, kehadiran pengunjung yang ramai di hotel berkenaan adalah disebabkan penganjuran sebuah program sukan yang membabitkan guru-guru di sekitar negeri ini.

"Pihak kami sudah semak dan ia mula ditularkan sejak Jumaat lalu, sebenarnya semua kereta itu adalah milik peserta yang terdiri daripada guru sukan dan jurulatih yang menghadiri Bengkel Kejurulatihan peringkat negeri.

"Ia diadakan di hotel terbabit pada Jumaat lalu bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari, malah semakan pengunjung di hotel terbabit oleh polis mendapati hari ini tiada pengunjung yang ramai," katanya ketika dihubungi.

Wari berkata, pihaknya meminta orang awam untuk tidak menyebarkan sebarang berita yang belum pasti kesahihannya supaya tidak menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Sejak pagi tadi, tular di aplikasi WhatsApp sebuah video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang lelaki berbahasa mandarin mendakwa penduduk dari Alor Setar melarikan diri dari kawasan TEMCO dan menginap di sebuah hotel di Kangar.

Lelaki terbabit mendakwa kebiasaannya jumlah pengunjung ke hotel terbabit adalah tidak ramai namun pada hari berkenaan ia dipenuhi kereta dari Kedah.



Sumber : Polis nafi penduduk Alor Setar ingkar PKPD lari ke Kangar

Post a Comment

0 Comments