KUALA LUMPUR: Polis menerima dua laporan berhubung isu pencemaran air yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata individu berkaitan termasuk pemilik kilang terbabit dengan insiden itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
"Semua perkara ini masih dalam siasatan dan kita akan menyiasat daripada pelbagai sudut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai pasukan khas, Noor Azam berkata, ia ditubuhkan hari ini bertujuan menyiasat kes pencemaran itu, selepas polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
"Pasukan ini disertai pegawai dan anggota polis bersama pihak berkaitan antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarikat air berkaitan yang mempunyai kepakaran," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, agensi penguatkuasaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dilaporkan diingatkan tidak gentar dengan ancaman atau ugutan pihak yang melakukan pencemaran sumber air, termasuk mungkin menggunakan khidmat samseng atau kongsi gelap.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dipetik berkata tindakan itu semua dipercayai untuk cuba menakutkan pegawai dan kakitangan kerajaan, sekali gus menghalang mereka daripada menjalankan tugas.
Sumber : Polis terima dua laporan isu pencemaran air
0 Comments