PRN Sabah: BN tak mahu terlalu yakin dapat majoriti mudah

PUTATAN: Barisan Nasional (BN) tidak mahu terlalu yakin untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan dan melantik Ketua Menteri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata atas sebab itu beliau tidak mahu isu siapa Ketua Menteri jika gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang diperbesarkan.

Katanya, mereka perlu mendapatkan terlebih dahulu jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sebelum membincangkan soal siapa Ketua Menteri.

"Asasnya, apabila kita melepasi garisan iaitu dapat 37 kerusi baru layak membentuk kerajaan. Jangan terlalu yakin kerana rakyat melihat. Kalau kita terlalu yakin rakyat tak suka.

"Bagaimanapun, rakyat akan mendapat Ketua Menteri yang terbaik jika kita menang. Ini adalah norma baharu dan ia perlu dihormati semua pihak," katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra bersama pemimpin di Kampung Pasir Putih, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; calon BN Tanjung Keramat, Shahelmy Yahya dan calon PN Petagas, Datuk Arsit Sedi.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN memutuskan untuk tidak bercakap soal siapa calon Ketua Menteri sehingga gabungan BN, PN dan PBS menang pada PRN.

"Kita bagi menang dulu sekurang-kurangnya 37 kerusi. Selepas itu kita runding dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan masa itulah kita lantik siapa Ketua Menteri.

"Parti yang dapat banyak kerusi maka itulah yang paling layak jadi Ketua Menteri," katanya.

Setakat ini, hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ada membayangkan siapa Ketua Menteri mereka jika parti itu diberi mandat menjawat jawatan berkenaan.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor adalah nama yang disebut sebagai bakal Ketua Menteri dari parti itu jika dipersetujui rakan parti lain.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum ini berkata Hajiji memenuhi kriteria yang diperlukan rakyat Sabah untuk menerajui negeri berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.



Sumber : PRN Sabah: BN tak mahu terlalu yakin dapat majoriti mudah

Post a Comment

0 Comments