Tell Me Kenyalang, mara ke persada antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kumpulan Puisi, Tell Me Kenyalang tulisan penyair kelahiran Kapit, Sarawak Kulleh Grasi antara judul yang berada dalam senarai panjang Anugerah Terjemahan Kebangsaan 2020 (NTA) anjuran Persatuan Penterjemah Sastera Amerika (ALTA).

Persatuan Penterjemah Sastera Amerika (ALTA) dalam laman webnya menyebut, Tell Me Kenyalang yang naskhah asalnya ditulis dalam bahasa Melayu dipilih berdasarkan kualiti bahasa Inggeris yang diguna pakai selain kualiti penterjemahan.

Naskhah yang diterbitkan pada 2019 oleh Circumference Book yang berpangkalan di New York itu diterjemah ke bahasa Inggeris oleh penterjemah dan penulis, Pauline Fan.

Selain Tell Me Kenyalang, 9 lagi judul yang berada dalam senarai akhir termasuklah The Chilean Flag oleh Elvira Hernández dan Forty-One Objects (Carsten René Nielsen).

NTA yang dimulakan sejak 1998 memberi penghormatan terhadap karya terjemahan puisi atau prosa bagaimanapun pada 2015, NTA mula memisahkan penganugerahan untuk puisi dan prosa.

Sementara itu Kulleh Grasi atau nama sebenarnya Royston John Kulleh, berkata Tell Me Kenyalang mengangkat puisi dengan tema mitos, kemanusiaan dan alam sekitar.

"Pencalonan naskhah ini ibarat sebuah mimpi euphoria yang terindah. Apatah lagi tersenarai bersama penulis hebat seluruh dunia, naskhah ini ibarat memetakan Malaysia khususnya ceritera Sarawak dalam sastera antarabangsa," katanya ketika dihubungi BH.

Tambahnya, meletakkan sastera Malaysia ke pentas antarabangsa bukan tugas mudah apatah lagi di Amerika.

"Doakan kejayaan ini. Ia adalah perjalanan sastera tempatan.

"Tell Me Kenyalang adalah hadiah hati untuk anak Sarawak dan pencinta sastera orang asal. Semoga karya anak peribumi mampu berterbangan di langit luas, seperti bertaburnya bunga Ensurai di angkasa, itu doa saya," katanya.

Tell Me Kenyalang sebelum ini pernah berada dalam senarai panjang Anugerah Buku Terjemahan Terbaik 2020 awal tahun ini.

Sebelum ini puisi Rosyton yang juga seorang penyanyi dan penulis lagu pernah diterbitkan dalam jurnal Naratif tahun 2016 selain kerap membuat persembahan di festival budaya dan sastera.



Sumber : Tell Me Kenyalang, mara ke persada antarabangsa

Post a Comment

0 Comments