Tiada air tetapi tidak boleh 'cuti' lama

KLANG: Pengusaha makanan tetap meneruskan operasi seperti biasa meskipun dalam keadaan gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu.

Mereka tidak boleh 'bercuti' lama kerana inilah masanya untuk memulihkan ekonomi keluarga susulan situasi negara yang berdepan pandemik COVID-19.

Pengusaha Restoran Kak B, Kamarul Izwan Mohd Sirat, 40, berkata, bukan mudah untuk mengendalikan restoran dalam tempoh gangguan bekalan air secara tiba-tiba.

"Sepanjang tempoh gangguan itu, memang pelanggan meningkat kira-kira 30 peratus sebab kita faham rumah masing-masing tiada air, susah hendak masak di rumah, restoran dan kedai makan jadi tumpuan.

"Sebab itu pengusaha makanan tetap teruskan operasi walaupun tiada air tetapi kena usaha lebih sikit, keluar ulang-alik mengangkut air dan mengeluarkan modal lebih untuk membeli itu dan ini.

"Kami kena beli bekas plastik, sudu, garpu, gelas, plastik alas pinggan serta gelas kertas serta air mineral," katanya ketika ditemui di restorannya di Bandar Puteri di sini hari ini.

Kamarul Izwan berkata, pada Khamis dan Jumaat, beliau bernasib baik kerana dapat menggunakan air simpanan yang masih berbaki.

"Dari dulu lagi, saya selalu sediakan air simpanan untuk kegunaan ketika kecemasan, jadi saya guna air itu Khamis dan Jumaat secara berjimat cermat.

"Bagaimanapun pada Sabtu, restoran saya buka separuh hari sebab kehabisan bekalan air, ambil di rumah keluarga di Bandar Puteri yang ketika itu masih ada air walaupun aliran air perlahan.

"Apa yang saya kecewa, kami tidak sempat 'standby', saya harap akan datang apabila berlaku gangguan bekalan air, beritahu juga hari jangkaan tiada air, kami boleh bersedia.

"Setiap kali berlaku gangguan bekalan air, restoran saya memang terkesan seperti ini. Macam hari ini, walaupun air dah ada perlahan, saya terus tadah sebab risau," katanya.

Seorang lagi pengusaha masakan panas di kawasan berhampiran, Azman Ali, 45, berkata, setiap kali berlaku gangguan bekalan air, perkara pertama yang menjadi keutamaannya adalah isu kebersihan.

"Setakat ini memang pelanggan tidak pernah merungut tetapi selaku pengusaha restoran, isu kebersihan menjadi kebimbangan dan perkara utama sebab air tiada.

"Sebagai contoh, lantai restoran hari biasa memang kami lap dua kali sehari, pagi dan petang tetapi apabila tiada air, lap sekali sahaja sehari malah saya terpaksa tutup dua hari sebab kehabisan air.

"Satu lagi kena beli air botol dalam kuantiti banyak, pinggan mangkuk cawan plastik kertas serta sudu garpu, saya habiskan kira-kira RM500 untuk tujuan itu," katanya.



Sumber : Tiada air tetapi tidak boleh 'cuti' lama

Post a Comment

0 Comments