PUTRAJAYA: Ruang lokap yang sesak dan sempit sehingga menyukarkan penjarakan fizikal menjadi penyumbang utama kepada penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan pada Kluster Benteng LD, di Sabah.
Setakat tengah hari tadi, sebanyak 50 kes positif baharu COVID-19 dikesan dalam Kluster Benteng LD, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif dalam kluster ini seramai 66 individu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 66 kes positif COVID-19 dalam kluster ini, sebanyak 64 kes atau 97 peratus membabitkan banduan manakala dua lagi kes atau tiga peratus adalah seorang pegawai penjara dan anak saudaranya.
Beliau berkata, jumlah saringan yang dilaksanakan bagi kluster ialah 631 banduan; 98 orang kakitangan penjara; 157 ahli keluarga kakitangan dan banduan; 78 anggota polis; dan 440 pegawai agensi kerajaan lain.
Katanya, kluster itu membabitkan dua daerah di Sabah dan daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 kluster itu, 30 kes atau 45.5 peratus dalam kalangan warga Malaysia manakala 36 kes atau 54.5 peratus terdiri daripada individu warga asing.
"Di Lahad Datu, seramai 420 orang disaring dengan 50 kes dikesan positif COVID-19 membabitkan 22 warga negara dan 28 warga asing. Seramai 337 individu didapati negatif dan 33 individu masih menunggu keputusan ujian saringan.
"Seramai 984 orang disaring di Tawau dan 16 kes dikesan positif COVID-19 iaitu lapan warga negara dan lapan warga asing mananakala 230 individu didapati negatif serta 738 individu masih menunggu keputusan.
"Berdasarkan analisis risiko yang dijalankan, faktor penularan COVID-19 bagi kluster ini adalah ruang lokap yang sesak dan sempit. Didapati penjarakan fizikal sukar diamalkan. Ini penyumbang utama penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan. Justeru, kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah penting dan harus diamalkan sepanjang masa tanpa mengira tempat," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Sumber : Ruang sempit, sesak punca kes Kluster Benteng LD naik
0 Comments