Tindakan persoalkan status pendaftaran PN perbuatan terdesak

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan tindakan pihak yang mempersoalkan status pendaftaran gabungan parti politik itu sebagai terdesak dan ketandusan isu terutama dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihak terbabit sebenarnya bimbang dan terancam apabila melihat penerimaan baik rakyat terhadap PN sejak kebelakangan ini.

"Selaku Setiausaha Agung PN, saya ingin menegaskan bahawa pendaftaran PN diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos 2020 dan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga meluluskan permohonan pendaftaran logo PN untuk digunakan sebagai lambang di atas kertas undi dan semua calon PN yang bertanding menggunakan logo PN diumumkan, layak bertanding pada hari penamaan calon 12 September lalu," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Hamzah turut melampirkan dua dokumen iaitu salinan sijil pendaftaran PN ditandatangani Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim dan surat kelulusan pendaftaran simbol parti PN dengan SPR ditandatangani Setiausaha Bahagian (Penjalanan Pilihan Raya) SPR, Zakuan Abdul Halim bertarikh 28 Ogos lalu.

Salinan surat ROS kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan PN adalah parti politik yang sah. Foto NSTP
Salinan surat ROS kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyatakan PN adalah parti politik yang sah. Foto NSTP

Beliau berkata, PN akan terus memperkasakan jenteranya dalam memastikan kemenangan semua calon yang bertanding.

Katanya, beliau yakin isu palsu yang berunsur fitnah dan berniat jahat itu tidak akan mempengaruhi keputusan pengundi untuk memilih PN sebagai parti yang prihatin membela rakyat.

Isu kesahihan PN sebagai sebuah parti ditimbulkan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman hari ini, yang mendakwa semakan pada laman sesawang ROS mendapati tiada rekod mengenainya.

Bagaimanapun, ROS dalam satu kenyataan petang tadi, berkata PN sudah didaftarkan melalui pengeluaran sijil pendaftaran PPM-019-14-07082020.

ROS turut menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar kerana sistem di laman sesawang bagi kelulusan sesebuah pertubuhan dikemaskini secara automatik setiap dua bulan dan kelulusan PN akan tertera dalam carian umum pada awal Oktober ini.



Sumber : Tindakan persoalkan status pendaftaran PN perbuatan terdesak

Post a Comment

0 Comments