JITRA – Ejen insurans ditemui maut dengan kesan lebam di leher dipercayai dibunuh rakan lelaki di rumah sewanya di Taman Mahsuri di sini.
Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, ditemui terbaring di ruang tamu kediaman dengan lengkap berpakaian oleh rakan serumahnya pada 12 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, susulan itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun untuk siasatan lanjut.
Sebelum itu, katanya, polis dimaklumkan kejadian pada 12.10 tengah malam.
“Anggota dikerah ke lokasi dan menemui mayat seorang wanita. Siasatan awal, pasukan forensik percaya mangsa dibunuh antara jam 4 petang hingga 9.45 malam dan turut menemui kesan lebam di lehernya.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Kita juga sudah menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat.
Sementara itu, jiran mangsa dikenali Ahmad, 50-an berkata, rumah itu didiami sekurang-kurangnya empat wanita termasuk mangsa, dipercayai disewa sejak sebulan lalu.
“Jarang nampak mangsa dan rakan serumahnya kerana mereka keluar bekerja, tapi kalau terserempak pun kami hanya senyum sahaja.
“Memang terkejut apabila polis datang ke rumah mereka dan dimaklumkan menemui mayat tetapi ketika itu kami tak tahu siapa yang meninggal,” katanya ketika ditemui.
Lelaki itu juga memaklumkan mangsa serta rakannya jarang bergaul dengan penduduk sekitar selain pernah ternampak kenalan lelaki hadir menjemput mereka di luar rumah.
The post Gadis berlesung pipit maut dipercayai dibunuh kenalan lelaki first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments