Susulan mesyuarat ahli parlimen BN yang berlangsung hampir tiga jam bermula jam 1 petang, hari ini, bekas pengerusi BN, Najib Razak menjelaskan apa yang dibincangkan.
Menurut Najib, tiada sebarang keputusan tentang sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu membubarkan Dewan Rakyat supaya pilihan raya umum boleh diadakan.
Bagaimanapun Najib berkata, mesyuarat itu mendengar pelbagai pandangan daripada mereka yang hadir.
” Tak ada keputusan, macam-macam pandangan tapi pandangan ini tak boleh ambil kira, yang penting sekali keputusan.
” Kita cuma mendapatkan pandangan-pandangan dari wakil rakyat BN tentang pendirian kita dan halatuju yang patut dijadikan ketetapan parti.
” Keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi (Umno) malam nanti, ini kita sekadar buat percambahan fikiran dengan pandangan (di) kalangan ahli parlimen,” katanya selepas menghadiri mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur.
Menurut Najib yang juga adalah bekas perdana menteri dan presiden Umno, sebagai ahli parti, mereka tertakluk kepada keputusan parti.
” Kita pegang pada prinsip macam mana pun Umno tak boleh berpecah, Umno mesti bertindak sebagai satu blok.
” Ini satu pandangan yang boleh dikatakan didokong oleh semua pihak,” katanya.
Mesyuarat hari ini diadakan susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam, yang menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.
Ia bagi membolehkan ahli parlimen BN untuk menyatakan pandangan masing-masing mengenai kemelut politik tanah air.
Hishamuddin kata ada bincang tentang peletakan jawatan Muhyiddin
Bendahari Agung BN, Hishammuddin Hussein berkata ahli parlimen BN sedang membincangkan sama ada Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri selepas Yang di-Pertuan Agong menolak memberi perkenan mengisytiharkan darurat.
Ditemui di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini dia berkata demikian semasa ditemui media dan ditanya sama ada Muhyiddin wajar metelak jawatan.
Anggota parlimen BN mengadakan pertemuan tertutup di situ sejak jam 1 petang tadi.
Ditanya sama ada BN masih bersama Perikatan Nasional (PN), Hishammuddin yang juga menteri luar dilantik Muhyiddin berkata hal itu yang menjadi isu diperbincangkan dalam mesyuarat tersebut.
” Itulah sebab kita bincangkan. Saya mahu dengar pandangan BN,” katanya.
Ahli parlimen Sembrong itu juga berkata dia tidak tahu sama ada Umno masih menyokong kerajaan PN.
” Saya tidak tahu kita tunggu mesyuarat Umno dulu,” katanya.
via 1 MIN READ
0 Comments