KUCHING – Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) berharap ibu bapa tidak ragu-ragu untuk menghantar anak ke sekolah ketika penularan Covid-19 pada masa ini.
Presiden KGBS Ahmad Malie berkata, ia kerana pentadbiran dan guru di setiap sekolah sudah berusaha dengan terbaik untuk menyediakan kelengkapan serta arahan yang selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“KGBS yakin bahawa pentadbir dan guru di sekolah sudah berusaha dengan yang terbaik dalam memastikan sekolah masing-masing akur dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan seorang netizen di Lawas berkaitan keadaan di beberapa buah sekolah rendah khususnya Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Lawas yang dikatakan menyediakan SOP untuk menangani pandemik Covid-19 sekadar seperti ‘melepas batok di tangga’
Ahmad berkata, KGBS kesal dan terkilan dengan dakwaan seperti dilaporkan dalam akhbar kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada sekolah berkenaan, pihaknya sudah berusaha dengan terbaik dalam menjalankan SOP mengikut ketetapan oleh KPM.
“Dalam isu ini, KGBS tidak mahu ia menjadi polemik semata-mata.
“Apa yang penting, mana-mana orang yang terjumpa atau ternampak sebarang kekurangan dan kelemahan pihak sekolah menangani SOP yang ditetapkan adalah lebih baik berjumpa dan berbincang dengan pihak pentadbir dan guru-guru sekolah,” katanya.
Beliau menambah dalam keadaan sekarang, mana-mana orang yang kurang berpuas hati dengan SOP yang disediakan seharusnya tampil memberi teguran yang terbaik serta memberi bantuan sewajarnya demi kebaikan bersama.
Ahmad turut mengingatkan agar orang ramai tidak menjadikan budaya hanya mencari kesalahan orang lain pada masa Covid-19 tetapi apa yang lebih penting ialah semangat kerjasama setiap orang agar dapat menangani pandemik ini dengan lebih berkesan.
“Sebagai sebuah kesatuan yang sentiasa menjaga kebajikan ahli, sudah pasti KGBS mempertahankan maruah ahli khususnya guru di sekolah berkenaan yang diperlekehkan oleh orang lain yang sukar menghargai usaha mereka untuk kebaikan bersama,” katanya.
Justeru, beliau berharap agar masyarakat terutama ibu bapa yang ada anak-anak bersekolah di sekolah berkenaan tidak terpengaruh dengan laporan bersifat negatif itu.
The post Jangan ragu hantar anak ke sekolah first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments