Kudung kaki akibat kemalangan, rider ini tetap cekal cari rezeki tanggung ibu bapa

KUALA LUMPUR – Kemalangan yang menimpa Danial Asyraf Roslan tiga tahun lalu mengakibatkan pemuda ini kudung kaki kanan dan dibuang kerja akibat kekurangan pada fizikalnya itu.

Begitupun, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat Danial Asyraf, 22, untuk terus cekal meneruskan hidupnya dengan menggunakan kaki palsu dan kini memerah kudrat menjadi penghantar makanan serta barangan.

Danial Asyraf mengakui, selepas dibuang kerja dari kilang tiga tahun lalu, susah untuknya mencari kerja lain berikutan kecacatan yang dialaminya.

“Susah orang nak ambil kerja bila dah jadi orang kurang upaya (OKU), menjadi ‘rider’ (penghantar makanan dan barangan) sajalah yang boleh saya lakukan.

“Pada awalnya, saya kerja pada siang hari saja tapi sebab nak cari duit lebih, sekarang malam pun saya kerja juga.

“Pendapatan tidak menentu, paling kurang sehari boleh dapat RM25 dan paling tinggi RM100,” katanya sambil memaklumkan sudah dua tahun bekerja dalam bidang itu ketika dihubungi.

Pemuda berasal dari Alor Gajah Melaka ini berkata, dia mengambil iktibar daripada kemalangan yang berlaku dan sudah mendaftar insurans perlindungan diri sejak awal tahun ini untuk masa depannya.

Anak lelaki tunggal daripada empat beradik juga berkata, dia mahu berdikari walaupun fizikalnya tidak sempurna seperti dulu.

“Sudah menjadi tugas saya menyara ibu bapa pula sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga.

“Saya perlu bekerja dan cari duit bukannya goyang kaki sambil menunggu bantuan ihsan orang lain,” katanya.

Mengimbas kemalangan yang menimpa dirinya, Danial Asyraf berkata tragedi yang berlaku tiga tahun lalu masih segar dalam ingatannya.

Katanya, sukar pada mulanya menerima kenyataan, namun lama-kelamaan menerima takdir itu dengan reda.

“Kemalangan berlaku seminggu sebelum sambutan Aidilfitri pada 2017, selepas habis waktu berkerja di kilang, saya singgah bertemu rakan sebelum pulang ke rumah di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.

“Malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang ke rumah, motosikal saya tunggangi terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal dengan sebuah kereta,” katanya.

Katanya, akibat kemalangan itu dia dirawat di hospital lebih sebulan sebelum dinasihatkan oleh doktor perubatan untuk memotong kaki kanannya hingga paras lutut.

“Akibat jangkitan kuman, kaki kanan terpaksa dipotong dan kini saya memakai kaki palsu untuk menyokong rutin pergerakan harian.

“Memang agak janggal pada mulanya dan ambil masa juga untuk sesuaikan diri berjalan menggunakan kaki palsu,” katanya.

Mengulas mengenai gambarnya yang tular ketika menghantar makanan, Danial Asyraf berkata, dia sebenarnya baru saja mengetahui perkara itu semalam dan berterima kasih kepada warganet yang memberikan komen positif kepadanya.

Terdahulu, gambar Danial Asyraf tular di Facebook menerusi akaun milik Sepet Vtec sehingga menerima 8,000 tanda suka dan dikongsi 1,000 pengikut.

Rata-rata warganet memuji kecekalan ‘rider kaki besi’ itu dan menjadikan kesungguhannya sebagai pemangkin kepada mereka yang putus asa dalam kehidupan.

The post Kudung kaki akibat kemalangan, rider ini tetap cekal cari rezeki tanggung ibu bapa first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments