Macau Scam: Suspek utama larikan diri dari SPRM berjaya diberkas

KUALA LUMPUR – Suspek utama kes pengubahan wang haram yang melarikan diri pada 11 Oktober lalu, berjaya diberkas di sebuah pusat peranginan di Pahang, awal pagi tadi.

Suspek dikenali sebagai Alvin Goh, ditahan kira-kira jam 1.30 pagi oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Seorang wanita dipercayai warga asing turut ditahan bersama Goh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan penangkapan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan suspek utama kes sindiket pengubahan wang haram, didapati melarikan diri dengan bantuan dua pengawal peribadinya berdasarkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya.

Sumber dipetik sebagai berkata, dalam kejadian pada 11 Oktober lalu, suspek memang sudah menaiki kenderaan miliknya yang kemudian dilihat menuju ke pintu pagar utama bangunan terbabit untuk keluar.

Namun ketika pergerakan antara pintu lobi dengan pintu pagar utama itu, suspek dipercayai keluar dari kenderaan terbabit lalu melarikan diri ke pagar sisi berdekatan pintu belakang bangunan SPRM.

“Hasil semakan terhadap rakaman CCTV, suspek didapati memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi yang sudah bersedia dan sebuah kereta jenis Myvi menunggu di tepi jalan, sekali gus meloloskan diri daripada tangkapan polis yang sedia menunggu di pintu pagar utama bangunan SPRM,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, terdahulu suspek bersama lapan lagi individu sudah dilepaskan daripada reman dan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM untuk proses dokumentasi jaminan.

The post Macau Scam: Suspek utama larikan diri dari SPRM berjaya diberkas first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments