Petisyen gesa pecat Menteri Kesihatan Indonesia gagal tangani Covid-19

JAKARTA – Satu gabungan terdiri daripada kumpulan masyarakat awam, akademik dan organisasi memulakan petisyen secara atas talian bagi mendesak Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo memecat Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto.

Ia kerana menteri itu didakwa tidak cekap dalam mengendalikan wabak COVID-19 yang semakin buruk.

“Kami fikir Terawan gagal dalam menjalankan tugasnya mengendalikan wabak ini sebagai menteri kesihatan,” kata gabungan itu dalam petisyen yang difailkan melalui change.org.”

Justeru, kami menuntut supaya Presiden Jakowi memecat Terawan daripada jawatannya sebagai menteri kesihatan dan menggantikan beliau dengan seseorang yang lebih cekap.”

Petisyen berkenaan dimulakan pada Rabu lalu oleh Jaringan Nasional Advokasi Pekerja Rumah Tangga (JALA PRT); ketua majlis eksekutif pelajar Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN Jakarta), Sultan Rivandi; ketua Badan Eksekutif Pelajar Universiti Indonesia (BEM UI), Manik Marganamahendra, Irma Hidayana dari komuniti Lapor COVID-19 dan Supinah sebagai wakil pekerja.

Sehingga hari ini, lebih 6,000 orang menandatangani petisyen itu.

“Sejak awal, menteri mengambil mudah mengenai wabak ini. Beliau tidak serius dalam menanganinya (wabak). Beliau juga tidak dapat mengatasi isu seperti melindungi pekerja kesihatan dan membendung penularan COVID-19,” kata petisyen itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga hari ini, Indonesia berada di kedudukan ke-22 dalam kalangan negara yang mempunyai jangkitan COVID-19 tertinggi, kedua selepas Filipina di Asia Tenggara.

Indonesia juga mencatatkan kes kematian tertinggi di Asia, dengan 11,151 kematian.

Negara itu juga merekodkan 303,498 kes COVID-19 sehingga Sabtu lalu.

September lalu, Amnesty International juga menyenaraikan Indonesia antara negara dengan jumlah pekerja kesihatan yang tertinggi meninggal dunia akibat COVID-19.

Desakan untuk memecat Terawan dibuat sejak awal Mac lagi, apabila satu gabungan masyarakat awam lain, yang terdiri daripada pemerhati hak asasi manusia, antaranya KontraS dan Amnesty International Indonesia, berkata beliau “sombong dan antisains”. – AGENSI

The post Petisyen gesa pecat Menteri Kesihatan Indonesia gagal tangani Covid-19 first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments