Ramai lagi orang mati sebab denggi dari Covid-19, kata MB Kedah

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata, kerajaan negeri tidak boleh disalahkan atas lonjakan kes di negeri tu kerana ia bukan sesuatu yang dapat dapat dijangkakan.

Dia berkata demikian selepas Kedah mencatatkan 153 kes hari ini, yang kebanyakannya dikesan di penjara Alor Setar.

“Kluster Tembok ni, orang kata Kedah tak pandai buat kerjalah, apa. Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai. Benda tu tak nampak.

“Kita bukan nak dosa apa. Dia pandemik dan ada orang mati lebih banyak denggi, malaria, H1N1, taun, TB (batuk kering)…dan apa lagi yang tidak ada ubat nak merawatnya pun.

“Lama-kelamaan kita kena terima Covid-19 ni ada di sekitar kita dan kita menimbulkan stigma yang berlebihan,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman hari ini.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat exco, dia berkata pesakit Covid-19 kini dilihat seperti orang yang melakukan dosa walaupun mereka tidak melakukan apa-apa apabila dijangkiti.

Tambahnya, pesakit HIV/AIDS juga telah diterima oleh masyarakat walaupun mereka kemungkinan dijangkiti disebabkan aktiviti yang tidak bermoral.

“Pandangan awam sekarang seolah-olah orang yang positif Covid buat dosa dan patut dikecam, termasuk menteri agama pun orang kecam…bukan dosa apa, dia terkena.

“Siapa pun yang minta kena Covid? Tuan-tuan pun tak minta. Kalau di kalangan tuan-tuan ni ada yang kena Covid, bukan kehendak kita.

“Kita buat kerja, tiba-tiba terkena kepada pandemik. Ini bukan Aids atau HIV (yang mana) antara penularan HIV ni (dari) seks songsang. Ini haram, tak boleh, dosa,” katanya.

Berhenti salahkan ahli politik

Malaysia berdepan dengan gelombang baru Covid-19 seluruh negara, susulan kluster dari penjara di Sabah dan Kedah, kluster pendatang tanpa izin di Sabah dan juga individu yang mempunyai sejarah perjalanan di kawasan zon merah di Sabah ke seluruh Malaysia.

Pada 5 Okt, Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad dilaporkan sebagai menteri kabinet pertama yang positif Covid-19.

Beliau pulang dari Sabah pada 24 September dan kemudian mengunjungi enam negeri dan wilayah lain, sehinggalah dia didapati positif.

Beliau tidak menjalani kuarantin kendiri kerana arahan berkenaan yang dikenakan kepada mereka yang baru pulang dari Sabah hanya dimaklumkan pada 27 Sept.

Bagaimanapun, Beliau telah mendapat kecaman orang ramai kerana tidak menjalani kuarantin kendiri dan sebaliknya melakukan perjalanan antara negeri selepas pulang dari kawasan berisiko Covid-19.

Di media sosial, tanda palang #KlusterMenteri telah menjadi trending selepas tujuh menteri kabinet diarahkan menjalani kuarantin kendiri ekoran mempunyai kontak rapat dengan Zulkifli.

Selain Zulkifli, 10 ahli politik lain telah disahkan positif selepas pulang dari berkempen di Sabah. Ia telah mengundang kemarahan masyarakat.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata kemarahan itu tidak adil dan patut dihentikan kerana bukan hanya ahli politik yang dijangkiti setelah pulang dari Sabah.

“Saya rasa ini patut dihentikan. Kita tak minta sakit itu,” katanya.

The post Ramai lagi orang mati sebab denggi dari Covid-19, kata MB Kedah first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments