Ramai Tak Sabar Tunggu Keputusan Esok. Pakar Perlembagaan Jelaskan Adakah Anwar Bakal Jadi PM ke-9

Umum sedia maklum Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Anwar dalam satu kenyataan hari ini, berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Tiada impak besar

Mengulas perkara itu, pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menjelaskan tindakan Anwar bagi mengemukakan sokongan majoriti yang didakwa dimilikinya dijangka tidak memberi impak besar.

Menurutnya, berdasarkan laporan akhbar serta penafian beberapa ahli Parlimen sebelum ini, beliau percaya hanya kemungkinan kecil untuk Seri Paduka menerima dan memperakui sokongan majoriti yang didakwa Anwar itu.

” Dalam tempoh terdekat, dijangka tidak ada perubahan berkaitan kerajaan.

Jika ada sekali pun, situasi lebih ditunggu ialah sewaktu Sidang Parlimen di mana semua pihak boleh menilai sama ada Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengenai pertemuan Anwar dengan Agong esok, Muhammad Fathi berkata, beliau berpandangan Ahli Parlimen Port Dickson itu mungkin mengemukakan maklumat sokongan dengan menyenaraikan nama-nama ahli Parlimen yang menyokongnya dalam bentuk akuan bersumpah (SD).

Terpulang kepada Seri Paduka

Jika demikian, katanya, terpulang kepada Seri Paduka sama ada ingin menerima SD tersebut atau percaya dengan maklumat dikemukakan Anwar.

” Dalam hal itu, Seri Paduka mempunyai kuasa yang cukup luas bagi menilai maklumat dinyatakan sama ada ia berasas atau tidak.

” Perlembagaan Persekutuan juga tidak menetapkan cara yang spesifik bagi Yang di-Pertuan Agong untuk menilai mana-mana pihak yang mendakwa ada sokongan majoriti di Parlimen,” katanya.

Terdahulu ahli parlimen Port Dickson itu mengumumkan beliau sudah mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

Anwar turut berkata beliau sudah mendapat perkenan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang sebelum ini ditangguhkan selepas baginda mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

” Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan keizinannya,Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

” Oleh itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Tuanku memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober ini, Insya-Allah.

” Pada majlis mengadap itu, saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.” katanya.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments