JEMPOL – Mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Koperal Norihan Tari dinaikkan serta merta ke pangkat Sarjan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kenaikan pangkat itu berikutan keberanian luar biasa ditunjukkan dua anggota dari Pasukan Gerakan Am ( PGA) itu.
Katanya, kenaikan pangkat itu akan memberi kelebihan kepada ahli keluarga mendiang yang ditinggalkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mendiang dan Norihan diberi bentuk penghargaan tertinggi seperti pingat Pingat Gagah Berani ( PGB)
“Cadangan pemberian pingat itu juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya pada sidang media selepas upacara pengkebumian mendiang di tanah perkuburan Orang Asli Sungai Sampo, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam ( KDNKA) Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Timbalan Pengarah KDNKA ( PGA ) Datuk Kasuahdi Ali.
Abdul Hamid berkata, PDRM juga sudah menyampaikan beberapa bentuk sumbangan antaranya insurans berkelompok, koperasi PDRM, tabung amanah perwira, tabung kebajikan Bukit Aman dan sumbangan daripada PGA.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, dua lagi suspek warga negara Thailand berjaya ditangkap polis pada jam 7 pagi ini, berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, kedua suspek dipercayai tidak sempat melarikan diri ke sempadan negara jiran.
“Polis yang menjalankan operasi lanjutan menemui dua suspek di kawasan ladang dan belukar berhampiran.
“Kita juga sedang berunding dengan polis Thailand supaya empat suspek yang ditangkap oleh mereka diserahkan kepada kita untuk diadili,” katanya.
Abdul Hamid berkata, polis juga sedang berusaha mengesan senjata yang digunakan suspek kejadian yang dipercayai dicampak di kawasan belukar berhampiran.
The post 2 anggota PGA dinaikkan pangkat Sarjan bagi hargai keberanian mereka first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments