Arab Saudi sedia jalin hubungan diplomatik dengan Israel

RIYADH – Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan negara itu bersedia untuk ‘menjalin hubungan diplomatik secara penuh’ dengan Israel sekiranya rejim Zionis itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Menterinya, Putera Faisal bin Farhan al-Saud, berkata Israel perlu melengkapkan proses rundingan damai yang menjamin hak dan kebajikan penduduk Palestin terlebih dulu sebelum sebarang persetujuan dicapai.

PressTV melaporkan, beliau berkata demikian dalam satu wawancara sempena Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), yang mana Arab Saudi menjadi tuan rumah.

Dalam tempoh beberapa bulan lalu, Israel sudah menandatangani perjanjian menjalin hubungan diplomatik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Sudan.

Namun, langkah itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Palestin yang kini bimbang nasib mereka akan terabai selepas sekian lama mendapat perhatian dunia Arab.

Pengarah Mossad (agensi perisikan Israel), Yossy Cohen, sebelum ini menegaskan bahawa Arab Saudi akan menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv selepas Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, terdapat dakwaan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi iaitu Putera Mohammed bin Salman, khuatir mendapat tentangan keluarganya jika baginda bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Kekangan terbesar jalinan hubungan diplomatik Arab Saudi-Israel selama ini berpaksikan kepada reaksi domestik dan serantau, malah Arab Saudi menganggap tidak perlu hubungan diplomatik di luar kerangka Inisiatif Perdamaian Arab. – AGENSI

The post Arab Saudi sedia jalin hubungan diplomatik dengan Israel first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments