Dakwa Noor Hisham ‘takut mati’, Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini memohon maaf atas keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

King Sing yang juga Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China itu berkata, beliau tidak berniat dan terdetik untuk menafikan amalan mulia semua barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, para doktor dan jururawat.

“Bagi memastikan perjalanan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar selain kepentingan serta keharmonian negara, saya membuat permohonan maaf sekiranya ada keterlanjuran kata ketika perbahasan Belanjawan 2021.

“Langsung tidak terdetik untuk saya menafikan amalan mulia semua barisan doktor, jururawat, barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan.

“Saya tidak mahu kerana saya, selurh urusan Dewan Rakyat yang mulia ini terganggu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Baru-baru ini, King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progesif (PDP) telah mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai individu ‘takut mati’ kerana dianggap tidak serius dan turun padang dalam menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara terutama Sabah ketika ini.

Susulan kenyataan itu, beberapa Ahli Parlimen terutama pembangkang menuntut permohonan maaf susulan kenyataannya itu.

Bukan hanya pembangkang, salah seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyelar kenyataan itu yang disifatkan satu yang tidak wajar, mengejutkan dan memalukan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat turut menyifatkan kenyataan mempersoalkan Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi COVID-19 dibuat King Sing sangat keterlaluan dan dilihat merendahkan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menyekat penularan COVID-19.

The post Dakwa Noor Hisham 'takut mati', Ahli Parlimen Bintulu mohon maaf first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments