JEMPOL – “Mendiang ada beritahu hasratnya pulang ke kampung sebaik menamatkan perkhidmatan lebih kurang tiga tahun lagi, dia juga mahu membaiki rumah yang diduduki sekarang ini dengan rumah baharu,” Ramli Derus, 75.
Ramli dari Kampung Orang Asli Sungai Sampo bapa kepada Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut dalam kejadian tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar pagi hari ini.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu mendiang pada Oktober lalu ketika anaknya itu pulang bercuti selama seminggu.
“Ketika itu, mendiang ada beritahu akan bertugas di sempadan selama sebulan bermula 1 November.
“Kali terakhir mendiang menghubungi saya pada Ahad lalu tetapi tidak bercakap lama cuma sempat bertanya khabar sahaja,” katanya.
Ramli berkata, anaknya yang juga anak sulung daripada empat beradik itu merupakan seorang yang peramah dan mesra dengan ahli keluarga termasuk orang kampung.
Katanya, mendiang juga menunjukkan minat mahu menjadi anggota polis dan pergi sendiri ke temuduga tanpa memberitahu ahli keluarga dan hanya beritahu selepas berjaya diterima menyertainya.
“Saya dikejutkan oleh ahli keluarga pada 4 pagi tadi dan diberitahu mengenai kejadian yang menimpa mendiang,” katanya.
Anak kedua mendiang, Dian Baharuddin, 29, berkata, tiada perkara pelik dilihat ketika ayahnya pulang bercuti pada Oktober lalu dan hanya berjumpanya di rumah datuknya sahaja.
Katanya, dia tidak mengikut ayahnya yang tinggal di Bidor, Perak kerana sudah berkahwin dan tinggal di kampung itu.
“Kebiasaannya ayah akan maklumkan apabila dia masuk operasi untuk bertugas tetapi tidak pada kali ini,” katanya.
Bagi rakan karkb mendiang, Bazid Kim Sui, 41, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian menimpa mendiang.
Katanya, dia sempat menghabiskan masa dengan menangkap ikan serta melastik tupai di sekitar kampung ketika mendiang pulang bercuti baru-baru ini.
“Dia rakan yang yang baik dan suka bergurau dan tidak sangka pertemuan pada Oktober lalu merupakan yang terakhir.
“Disebabkan tiada telefon, saya hanya berjumpa mendiang ketika dia pulang bercuti sahaja,” katanya.
The post Hasrat mendiang Koperal Baharuddin mahu baiki rumah bapa tidak kesampaian first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments