KUANTAN – Anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabas serta merempuh tembok penghadang jalan di jambatan di Jalan Kuantan-Sungai Lembing, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.29 pagi itu, mangsa, Konstabel Wan Abdul Halim Wan Basuki, 24, yang bertugas di Lokap Berpusat Indera Mahkota, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Sungai Lembing berhampiran Kolej Politeknik Mara menghala ke Jalan Kuantan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke tembok penghadang sebelah kiri di jambatan di laluan terbabit.
“Akibat daripada kemalangan, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di kepala,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 dilakukan.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, saksi mendakwa mangsa memotong kenderaan dipandunya sebelum terbabas di selekoh dan melanggar tembok.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
The post Konstabel maut rempuh tembok penghadang jalan first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments