SAYA tak dapat bayangkan bagaimana seorang anggota polis yang dah nak pencen dalam setahun dua lagi, menjadi begitu berani dan bersemangat sewaktu berhadapan tak kurang daripada 13 orang penyeludup dadah ganas dalam kegelapan malam di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi semalam.
Biarpun hanya menggengam sepucuk pistol di tangan, Koperal Baharuddin Ramli dan seorang lagi rakan seperjuangannya, Koperal Norihan Tari masih mampu membalas tembakan dan mencederakan lawan mereka sehingga habis semuanya bertempiaran melarikan diri.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga penyeludup tersebut cedera termasuk salah seorang daripadanya parah. Mereka ditangkap di sebuah hospital di selatan Thailand ketika cuba mendapatkan rawatan dek penangan peluru yang dilepaskan oleh Baharuddin dan Norihan.
Ini bagi saya satu semangat dan keazaman LUAR BIASA yang dimiliki dua orang anggota polis senior ini.
Siapa sangka daripada hanya hendak membuat tinjauan dan risikan, mereka boleh terserempak dengan kumpulan penjenayah yang memang sekian lama membenci dan menyimpan dendam dengan anggota Senoi Praaq, sebuah pasukan yang kita semua tahu bukan mudah untuk diperkotak katikkan.
Sayangnya harga yang perlu dibayar kedua-dua mereka cukup mahal.
Baharuddin yang ditembak dua das di bahagian perut, hanya sempat berundur seketika sebelum rebah dan menghembuskan nyawanya yang terakhir.
Manakala Norihan kini sedang ‘bertarung’ di bilik bedah kerana tiga butir peluru menembusi badannya hingga mengakibatkan ususnya bocor.
Sebak saya sewaktu membaca laporan yang mengatakan mayat mendiang Baharuddin ketika ditemui masih lagi menggengam erat pistol hak kerajaan yang digunakannya.
Untuk rekod, tidak ada sebutir peluru pun yang tinggal dalam pistol tersebut…maknanya mendiang begitu bersungguh-sungguh berbalas tembak dengan penyeludup dadah berkenaan walaupun dia sedar dalam keadaan genting itu, nyawanya betul-betul berada di hujung tanduk!
Saya percaya di atas semangat yang luar biasa itu, kedua-dua mereka adalah calon paling layak untuk dipertimbangkan bagi dianugerahkan pingat keberanian tertinggi negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan kenaikan pangkat secara ‘posthumous’ iaitu kenaikan yang diberikan kepada anggota yang terkorban ketika sedang bertugas.
Ternyata jasa mereka berdua tiada tolok bandingnya terutama dalam mengangkat nama Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PDRM khususnya serta negara amnya.
Sesungguhnya kita terhutang budi pada mereka berdua.
Salute untuk mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Korperal Norihan Tari!
SYAHRIL A. KADIR
The post Koperal Baharuddin tidak gentar, lawan musuh sampai kehabisan peluru first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments