KWSP benarkan pengeluaran akaun 1 sehingga RM60,000

KUALA LUMPUR – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan untuk mengeluarkan wang dari akaun satu sehingga RM60,000.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, kemudahan menerusi program i-Sinar itu bakal memberi manfaat kepada dua juta ahli dengan anggaran sebanyak RM14 bilion kepada mereka yang layak.

“Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam akaun satu, tertakluk kepada baki minimum RM100.

“Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah dalam akaun satu, akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000.

“Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

“Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam akaun satu, akan mempunyai akses 10 peratus.

“Bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020 dan amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

“Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan,” katanya.

Menurut Tunku Alizakri, ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.

“Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam akaun satu sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.

“Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi akaun satu dan 30 peratus bagi akaun dua,” jelasnya.

Tambah beliau, untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

The post KWSP benarkan pengeluaran akaun 1 sehingga RM60,000 first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments