Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara dalam operasi besar-besaran bermula lewat petang semalam.
Menurut sumber, operasi khas yang dinamakan OPS SELAT ini adalah ‘sting operation’ yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Risikan dan pemantauan dibuat selama enam bulan ke atas ahli-ahli sindiket yang beroperasi di pintu masuk dan keluar utama negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru.
“Dalam operasi yang dilancarkan semalam seramai 46 orang ditangkap di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Ahli-ahli sindiket yang ditahan termasuk 27 pegawai JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah,” katanya.
Menurutnya. kesemua mereka yang diberkas berusia antara 21 hingga 46 tahun.
“Kesemua mereka sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching bagi perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Menurut sumber, sindiket itu menjalankan aktiviti mereka sejak setahun yang lalu dan berada di bawah radar pemantauan SPRM bermulanya penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 pada 18 Mac lalu.
“Aktiviti rasuah di kalangan anggota sindiket menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan. Sindiket ini menumpukan pekerja asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP.
“Mereka mengambil kesempatan susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau PATI untuk pulang ke negara asal mereka,” katanya.
Menurutnya, ini adalah isu kebocoran pintu negara yang serius. SPRM amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Pengarah JIM dalam pertukaran maklumat berhubung sindiket ini.
Sementara itu Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali mengesahkan tangkapan dan menjelaskan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
The post Palsu cop sempadan: 40 pegawai JIM, 3 ejen dicekup first appeared on Wowberita.
via Wowberita
0 Comments