Doakan Pakcik Sis Latif kuat, tangan kanan kini kudung

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan ditimpa malang apabila tangannya terpaksa dipotong setelah terlibat kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 28, Lebuhraya Pasir Gudang di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi, mangsa, Mohd. Sis Latif, 55, bersama dua rakan sedang berdiri di atas platform hidrolik di bahagian belakang lori bagi mengesan jalan-jalan yang berlubang untuk dibaik pulih.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sebaik tiba sampai di tempat kejadian, lori dinaiki mangsa yang sedang bergerak telah dilanggar oleh sebuah lori lain dari arah belakang.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang merupakan seorang pekerja selia selenggara berkenaan cedera parah di bahagian tangan kanan.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Akibat kecederaan parah yang dialami, tangan kanan mangsa terpaksa dipotong di bahagian bawah siku semasa rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahrulanuar, seorang lagi rakan mangsa yang berusia 27 tahun mengalami cedera ringan di bahagian lutut kanan.

Tambah beliau, lori yang melanggar mangsa berkenaan tidak berhenti di tempat kejadian malah terus melarikan diri daripada kawasan berkenaan dan pihak polis sedang menjalankan usaha mengenal pasti lori terbabit.

“Kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline Polis Kontinjen Johor 072212999 atau hotline polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam menerusi 073864222,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

The post Doakan Pakcik Sis Latif kuat, tangan kanan kini kudung first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments