Kakak maut kemalangan, gadis terkilan tak dapat jumpa arwah buat kali terakhir

KUALA LANGAT – Pilu hati seorang gadis apabila mendapat tahu kakak kesayangannya maut dalam kemalangan jalan raya, malam tadi.

Manurut Antasha Syahira, dia terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengan arwah kakaknya, Nur Ariany Syahira Mohd. Syahir, 20, buat kali yang terakhir.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, Antasha berjanji untuk menjaga adik-adiknya yang lain seperti mana kakaknya menjaga mereka sebelum ini.

“Yani, aku dengan Kaklong janji akan jaga adik-adik kita. Kau rehatlah dekat sana. Allah lebih menyayangimu. Terima kasih jadi penghibur keluarga ini walaupun untuk 20 tahun sahaja,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa cedera parah selepas merempuh sebuah lori yang membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di Jalan Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 37 tahun itu dalam perjalanan ke Klang dari Telok Panglima Garang.

Katanya, sebaik tiba lokasi kejadian dikatakan lori berkenaan telah melakukan pusingan U apabila lampu isyarat berwarna hijau walaupun kawasan tersebut tidak dibenarkan melakukan demikian.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dari arah belakang kemudiannya telah melanggar bahagian tengah lori tersebut.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia pukul 12.32 tengah malam tadi ketika menerima rawatan kecemasan di HTAR,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kata beliau, pemandu lori tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sehubungan itu, Kamalariffin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mazrol Mohd. Din di talian 011-1853 9115.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

The post Kakak maut kemalangan, gadis terkilan tak dapat jumpa arwah buat kali terakhir first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments