Pemandu lori maut kemalangan, tinggalkan anak dan isteri sarat hamil

BUKIT MERTAJAM – Seorang pemandu lori syarikat e-dagang maut selepas tercampak keluar dan jatuh ke bawah jejantas setinggi tujuh meter dalam kemalangan di Kilometer 137 Lebuhraya Utara Selatan pagi Selasa.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Shafiq Abd Razak, 33, dari Mengkuang Semarak di sini dalam perjalanan ke hub penghantaran barang di Pokok Sena sebelum melanggar sebuah motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang seorang konstabel polis.

Difahamkan, arwah Muhammad Shafiq meninggalkan isteri yang sarat hamil dan seorang anak lelaki.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pemandu lori berkenaan dipercayai melanggar motosikal berkenaan hingga menyebabkan tayar kirinya pecah sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke penghadang jalan.

Menurutnya, akibat kejadian itu pemandu lori terbabit tercampak keluar dan terjatuh ke bawah jejantas, manakala penunggang motosikal, Roger Daniel James, 20, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut turut mengalami cedera parah di bahagian kepala selain patah kedua belah kakinya.

“Siasatan awal mendapati kemungkinan motosikal yang ditunggang anggota polis itu berlanggar dengan kenderaan lain dahulu sebelum dilanggar lori terbabit berdasarkan kerosakan kedua-dua kenderaan iaitu di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Shafee berkata, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan bagaimanapun pemandu lori disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat kecederaan parah di seluruh badan dan kepala.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan dengan kawasan kemalangan dan setakat ini tiada saksi kejadian yang tampil membantu siasatan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

The post Pemandu lori maut kemalangan, tinggalkan anak dan isteri sarat hamil first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments