KUALA LUMPUR – Seorang penunggang maut digilis lori selepas motosikalnya bergesel dengan kenderaan itu dalam kemalangan selepas susur Plaza Tol Rawang Utara di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Amirul Azim Abdul Rashid, 26, yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shariat berkata hasil siasatan mendapati sebelum kemalangan berlaku pemandu lori berkenaan yang berusia 57 tahun sedang dalam perjalanan dari Rawang menghala ke Shah Alam.
“Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lori berkenaan telah melepasi Plaza Tol Rawang Utara dan pemandu lori itu yang berada di lorong kiri lebuh raya secara tiba-tiba terbabas ke lorong motosikal dan bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa,” katanya kepada Bernama.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya.
Azman berkata kes ini disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
The post Jurutera IT maut digilis lori first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments