KUALA LUMPUR – Buat dua hari berturut-turut, penunggang motosikal terus menjadi korban jalan raya berlopak.
Hari ini, seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggang melanggar lopak di bahu jalan sebelum terjatuh dalam kemalangan di Jalan PJU 7/2, Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 1.15 tengah hari ketika mangsa sedang dalam perjalanan menghantar makanan.
“Mangsa berusia 31 tahun berasal dari Kampung Cempaka terlanggar lubang di bahu jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas di lorong kiri jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecedaraan parah,”katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.
Nik Ezanee berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan ujian Covid-19.
“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Kejadian itu adalah kejadian kedua dalam tempoh dua hari berturut-turut yang menyebabkan penunggang motosikal maut akibat terlanggar lopak di jalan raya.
Semalam, lelaki warga emas maut selepas terjatuh apabila motosikal ditunggang melanggar lubang di Jalan Tengah menghala ke Jalan Syed Putra di sini.
Mangsa, Ho Yan Fee, 75, juga dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
The post Rider Grabfood maut motosikal langgar lubang di bahu jalan first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments