Suami meninggal akibat kanser, isteri mohon hentikan sumbangan

LIPIS – Seorang tukang rumah yang menderita penyakit kanser perut dan otak menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Kampung Kemahang, Benta di sini pada Rabu.

Sebelum ini, kisah penderitaan, Razali Ismail, 45, yang terlantar di hospital tular selepas tindakan nekad isterinya, Rohaizan Rozama, 41, yang sanggup menunggang motosikal seorang diri lebih 200 kilometer (km) dari rumah untuk menjenguk suaminya yang terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Allahyarham Razali yang menghidap kanser tahap empat itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.40 malam Rabu.

Rohaizan berkata, dia membawa pulang suaminya ke rumah pada 2 Januari lalu selepas menerima rawatan di HTAA pada 22 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun sedih dengan pemergian suaminya, namun dia reda.

“Sebelum ini, saya ada bercadang untuk meraikan hari lahir arwah ke-46 tahun pada 19 Februari depan, namun tidak kesampaian.

“Saya bercadang hendak buat kek istimewa untuk arwah tapi segalanya sudah berakhir dan 16 Mac pula genap sembilan tahun kami berkahwin.

“Sedih memangla sedih, namun saya reda. ALLAH telah menjemputnya lebih awal dan anggap ini satu ujian buat saya dan anak-anak,” katanya.

Allahyarham Razali dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemahang kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Khamis.

Dalam pada itu, Rohaizan juga meminta supaya segala sumbangan terhadap keluarganya sebelum ini dihentikan.

“Sebelum ini sumbangan diberikan untuk kos pembedahan arwah suami tetapi kini dia sudah tiada, jadi saya anggap tidak perlu lagi saya terima sumbangan.

“Apa-apa pun saya amat hargai segala bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak selama ini,” katanya.

The post Suami meninggal akibat kanser, isteri mohon hentikan sumbangan first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments