Balu seniman lagenda Haji Mahadi meninggal dunia

PETALING JAYA – Balu kepada seniman legenda, Mohd Mahadi Mohd Said, Rosminah Sawir meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang, malam tadi.

Rosminah, 82, menghembuskan nafas terakhir selepas lebih sebulan mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan.

Perkara itu disahkan anaknya, Aminah Mahadi di Facebook, menurut laporan Berita Harian.

“Setelah hampir 54 tahun dipinjamkan kepada saya, bonda kini kembali menemui Pencipta-Nya dalam usia 82 tahun. Kini pergilah ‘Syurga Dunia’ saya.

“Sungguh cantik pengakhiran bonda. Semoga bonda diampunkan segala khilaf dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya, yang reda dengan pemergian wanita yang dianggap “Syurga Dunia” itu.

Aminah berkata jenazah ibunya akan dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said di Ampangan, Seremban, hari ini.

Aminah sebelum ini kehilangan bapanya, Mohd Mahadi atau lebih dikenali Tuan Haji Mahadi, yang dianggap antara tokoh filem Melayu sejak menceburi dunia seni dengan membintangi filem Penghidupan pada 1951 sebagai pelakon tambahan.

Beliau juga pernah menjadi pengarah filem di Malay Film Productions (MFP) Limited melalui karyanya, Permata di Perlimbahan pada 1952 dan pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Utusan Melayu pada 1939.

The post Balu seniman lagenda Haji Mahadi meninggal dunia first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments