SHAH ALAM – Jika diberi pilihan, Kerajaan Selangor enggan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dilaksanakan di negeri itu kerana kadar kebolehjangkitan masih rendah berbanding negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang.
Sebaliknya, memadai dengan menambah baik beberapa aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awan Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.
Katanya, Kerajaan Selangor kini berada dalam tahap baik menguruskan wabak covid-19.
Beliau menambah, adalah tidak adil menilai situasi jangkitan di Selangor hanya dengan berdasarkan angka kerana populasi penduduk negeri itu yang lebih ramai berbanding negeri lain.
Menurutnya, pelaksanaan PKP penuh tidak akan berkesan sekiranya ujian saringan dan pemberian vaksin Covid-19 tidak laksanakan dengan segera.
“Sekarang ini pun kita berada dalam PKP, pergerakan kerja pun sudah dikurangkan , apa lagi yang kita nak tambah?” katanya ketika sidang media khas Covid-19 Negeri Selangor di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Siti Mariah menegaskan, Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu melaksanakan PKP penuh atas dasar keprihatinan terhadap rakyat yang mendapat sumber pendapatan harian.
“Kalau tanya saya (pelaksanaan PKP penuh) kita tidak mahu sebab orang tidak boleh keluar kerja. Yang makan gaji tidak mengapalah, dapat juga gaji.
“Kami bukanlah menolak keperluan itu (PKP penuh) namun kami cuba mengurangkan impak derita rakyat.
“Bagaimana nasib yang berniaga? Kedai runcit yang hari-hari bergantung kepada hasil jualan untuk makan. Tidak termasuk lagi kesan kepada anak-anak, kesan kepada ekonomi.
“Meskipun Kerajaan Negeri Selangor mampu memberi bantuan makanan namun rakyat tetap perlu pendapatan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri Selangor akan patuh dengan keputusan muktamad yang akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.
Mengulas mengenai penularan kes Covid-19 di Selangor, beliau berkata, tumpuan negeri itu sekarang adalah tangani penularan kluster supaya ia tidak merebak kepada komuniti.
Strategi yang dilakukan ini akan dapat mengawal penularan dalam komuniti dan terjadinya jangkitan sporadik.
Semalam, Selangor sekali lagi mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 1,743. -MalaysiaGazette
The post Kerajaan Selangor tolak PKP penuh, kadar kebolehjangkitan masih rendah first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments