KOTA BHARU: Kalimah ‘Allahuakbar’ adalah jeritan terakhir Raihan Mohamad, 43, sebelum wanita itu maut bersama tiga anaknya apabila kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Lebu, Bentong, Pahang petang semalam.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang, Raihan bersama tiga anak maut di tempat kejadian selepas tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire dinaiki.
Ia berlaku selepas kenderaan itu dirempuh Nissan Navara yang dikatakan tidak berhenti di persimpangan lampu isyarat merah.
Tiga anak Raihan yang maut ialah Ahda Dalili Mohd. Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7 dan Ahda Imtinan, 4, manakala suaminya, Mohd. Nazri Hamid, 44 yang memandu Vellfire cedera di tangan.
Menceritakan semula tragedi meragut nyawa empat insan tersayang itu, Mohd. Nazri yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Aring, Gua Musang berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana nahas berlaku amat pantas.
“Saya hanya terdengar arwah Isteri menjerit ‘Allahuakbar’ ketika kenderaan dinaiki kami dirempuh Nissan Navara yang melanggar lampu isyarat merah, sebelum dia dan anak-anak tercampak keluar dari kenderaan.
“Selepas rempuhan saya masih berada dalam keadaan terkejut dan ada beberapa individu cuba membelasah saya kerana salah faham dan anggap saya menjadi punca kepada nahas tetapi dapat dihalang oleh pengguna jalan raya lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, empat beranak tersebut selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Panchor, Pengkalan Chepa, di sini pukul 10.30 pagi ini dengan solat jenazah diimamkan Mohd. Nazri sendiri.
Menurut guru Pendidikan Islam itu, keluarganya bersama keluarga abang iparnya, Mohd. Zaid Mohamad, 46, berkonvoi untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis kenduri anak saudara arwah isteri.
Katanya, dua lagi anak mereka, Ahdan Fasihah, 11 dan Ahmad Awaz, 12, terselamat kerana mereka menaiki sebuah lagi kereta yang dipandu Mohd. Zaid.
The post Isteri sempat jerit ‘Allahuakbar’ sebelum maut dalam kemalangan first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments