Luluh hati lihat jasad anak terbujur kaku

REMBAU: Seorang bapa tidak dapat menahan perasaan sedih apabila satu-satunya anak perempuannya meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Jalan Sedia Raja-Mampong di sini, semalam.

Arif Sharkawi, 67, berkata, anak bongsunya itu, Mariana Arif, 21, baharu sahaja lapan hari bekerja di sebuah kilang di Chembong di sini.

Tambahnya, Allahyarham juga telah menyatakan hasrat untuk berkahwin pada bulan Jun tahun ini bersama pasangannya, Muhammad Aiman Norhazmi, 22, yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian semalam, jasad anak saya sudah ditutupi dengan kain. Anak saya sudah tidak bernyawa lagi dan sehingga kini, saya masih lagi terbayang-bayangkan wajahnya, dia belum bertunang lagi namun berhasrat untuk terus berkahwin pada Jun ini.

“Saya tidak tahu macam mana keadaan Muhammad Aiman, cuma saya difahamkan keadaannya teruk juga serta telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Rembau, di sini hari ini.

Sementara itu, Arif memberitahu, sejak anaknya mula bekerja, Muhammad Aiman selalu membantu menghantar Mariana pergi dan pulang dari tempat kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi semalam dan siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa datang dari arah Jalan Sedia Raja menghala ke Mampong.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, pemandu telah hilang kawalan ke atas kenderaannya lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang Telekom Malaysia (TM).

“Mangsa yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan telah tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Luluh hati lihat jasad anak terbujur kaku first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments